PENGENALAN



Raja Shamri bin Raja Husin dilahirkan pada 25 Mac 1975 di Pasir Puteh Kelantan. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Kampung Raja Pasir Puteh sebelum melanjutkan pelajaran ke Sekolah Menengah Sains Machang (SMSM) diperingkat menengah. Setahun sahaja di SMSM beliau terpaksa pulang ke sekolah harian biasa kerana mengalami kesukaran untuk bergerak disebabkan kecacatan kaki yang dialaminya semenjak dilahirkan lagi.


Berkat ketekunan dan semangat yang tinggi beliau kemudiannya ditawarkan ke Maktab Rendah Sains MARA Kota Bharu setelah mendapat kejayaan yang cemerlang didalam peperiksaan SRP di Sekolah Menengah Gaal Pasir Puteh. Setelah menamatkan pelajaran di MRSM beliau ditawarkan pula ke Kolej Yayasan Pelajaran MARA dan kemudiannya ke Northern Arizona University USA dibawah program anjuran MARA mengikuti kursus di bidang Pentadbiran Perniagaan


Sekembalinya beliau dari luar negara, beliau telah berkhidmat bersama beberapa syarikat swasta di Kuala Lumpur. Disebabkan rasa tandus dan cinta kepada ilmu pengetahuan yang semakin bergelojak, beliau kemudiannya mengambil keputusan untuk melanjutkan pelajaran ke Universiti Teknologi MARA mengikuti kursus di bidang Pengangkutan pula. Raja Shamri kemudiannya membuka syarikatnya sendiri berupa sebuah syarikat perunding latihan dan motivasi disamping terus melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana pula. 


Semenjak kecil, kemiskinan keluarga telah menjadikan beliau seorang yang benar-benar tabah dan sentiasa mahu mengubah nasib diri, keluarga dan masyarakat. Biarpun dilahirkan cacat tanpa sebelah kaki dan sukar untuk bergerak namun ianya bukanlah penghalang untuk beliau mencipta kejayaan demi kejayaan di dalam hidupnya baik dari segi akademik mahupun kecemerlangan, kepimpinan dan kokurikulum. Beliau tahu tiada sesiapa yang dapat membantu beliau melainkan diri beliau sendiri. Di Institut Pengajian Tinggi, beliau terkenal sebagai seorang pemimpin mahasiswa yang sentiasa membantu pelajar lain dan amat disegani di kalangan teman dan kakitangan universiti. Sikap beliau yang sentiasa merendahkan diri dan berfikiran positif menjadikan beliau seorang yang berjaya di dalam akademik dan kepimpinannya. Bekas Pemimpin Tertinggi beberapa pertubuhan mahasiswa dalam dan luar negara ini cukup aktif mengendalikan program program pelajar. 


Pelbagai anugerah yang diterima termasuk Anugerah Mahasiswa Cemerlang dan Anugerah Sarjana Cemerlang di peringkat Sarjana yang diterima adalah bukti bagaimana seorang anak kampung yang mempunyai tujuh orang adik beradik dan dengan pendapatan keluarga hanya RM 300.00 sebulan ini mampu untuk berjaya biarpun dilahirkan cacat berkaki palsu. Dengan berbekalkan pengalaman lebih lapan tahun didalam mengendalikan program kecemerlangan diri, akademik, kepimpinan dan sebagainya, Raja Shamri adalah satu contoh anak muda Melayu Baru yang tidak pernah mengalah, satu ‘rolemodel’ untuk diikuti, satu semangat yang dicari-cari, menawarkan program yang mengetengahkan bahawa tiada yang mustahil di dunia ini. Beliau telah buktikannya dan akan terus membuktikannya. Kini beliau mengendalikan syarikatnya sendiri Golden Minds Consultant yang menawarkan program-program pembangunan diri (self-development program) untuk para pelajar sekolah dan IPTA seluruh Malaysia, MRSM, Kolej-kolej Matrikulasi, para usahawan MARA, sektor awam dan korporat seluruh negara, Brunei dan Indonesia.



Raja Shamri adalah antara motivator anak muda melayu baru yang disegani kerana usahanya dan prinsipnya yang bakal dikongsi di dalam setiap program bersama beliau.